Monday, December 8, 2008

Kenapa perlu kitar semula komputer?

Kenapa perlu kitar semula komputer?

PELANCARAN Kempen Kitar Semula Komputer Recycle PC baru-baru ini merupakan satu langkah yang amat penting dalam mendidik serta menolong orang ramai menyedari akan kepentingan pelupusan komputer mereka dengan cara yang betul.

Kempen yang dijalankan oleh Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) dan Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) itu diadakan di Lembah Klang, selama enam bulan.

Di samping menggalakkan kesedaran, kempen ini dapat juga mengelakkan sisa bahan-bahan toksik daripada alat-alat komputer daripada mencemarkan alam sekitar.

Lebih-lebih lagi pada zaman inovasi pesat kini, komputer model-model baru sentiasa berubah dalam masa beberapa bulan sahaja.

Industri elektronik kini telah menjadi satu industri yang terbesar dan berkembang pesat dengan era globalisasi serta perkembangan ekonomi Internet.

Era Internet telah mengurangkan penggunaan kertas, suatu yang positif kepada alam sekitar tetapi di masa yang sama ia telah meningkatkan penggunaan komputer.

Penambahan bilangan komputer yang banyak dan menyebabkan komputer lama terpaksa dibuang boleh pula menyebabkan masalah alam sekitar yang lain.

Dengan kempen terbaru Pikom dan AFSB ini, orang ramai telah menjadi lebih senang untuk mengitar semula komputer-komputer mereka.

Dengan adanya kempen ini, komputer yang masih boleh digunakan dapat dibaikpulih dan diberikan kepada mereka yang memerlukan atau badan-badan amal sebagai sumbangan.

Jadi janganlah buang komputer anda atau simpan komputer lama di pelosok rumah atau pejabat anda.

Anda hanya perlu menghantar komputer anda ke mana-mana pusat kitar semula Alam Flora untuk dikitar semula demi kebaikan semua serta menjaga alam sekitar kita supaya sentiasa bersih dan hijau.

Komputer telah banyak menyumbang kepada kebaikan dalam kemajuan masyarakat moden kini tetapi jika pembuangannya tidak diuruskan dengan betul.

Berjuta-juta komputer akan terbiar dalam tempat simpanan atau dibuang ke tapak-tapak pelupusan sampah.

Pada hari ini, kebanyakan komputer lebih murah dibeli baru daripada dibaikpulih atau diguna semula tetapi kesan kepada masyarakat adalah besar di mana Kempen Recycle PC ini dapat membantu keluarga yang berpendapatan rendah atau mereka yang tidak mampu.

Ia juga dapat sedikit sebanyak menggurangkan masalah jurang digital serta menjayakan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Sekolah-sekolah, badan-badan amal serta masyarakat umum akan dapat kebaikan daripada kempen ini.

Sehubungan itu, ``Fikir dahulu sebelum buang..!''

No comments: