Monday, December 8, 2008

Membantu pulihara alam

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

Sekiranya anda memiliki sebuah komputer lama yang sudah rosak mahupun tidak digunakan lagi, jangan biarkannya begitu sahaja. Kini, ada cara untuk mengitarnya semula.

KITAR semula komputer lama baik untuk alam sekitar.

MENGITAR semula sisa pembuangan sampah mahupun barangan terpakai perlu diamalkan dalam rutin kehidupan masyarakat kita hari ini. Walaupun ia sekadar kertas bersaiz kecil, tetapi nilai yang diperoleh begitu menguntungkan.

Melihat kepada kecanggihan teknologi dunia masa kini, siapa sangka, proses kitar semula bukan sahaja tertumpu pada barangan seperti tin aluminium, plastik, surat khabar lama, kabel, besi dan wayar. Kini, ia turut melibatkan peralatan elektronik seperti komputer meja.

Berkongsi kaedah mengitar semula perkakasan komputer ini dijalankan, Kosmo! mengunjungi syarikat kitar semula, Win Wins Recyling Trading Sdn. Bhd. di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Jika anda memiliki komputer lama yang sudah rosak mahupun tidak digunakan lagi, jangan biarkannya begitu sahaja. Ini akan menambahkan lagi bilangan sampah sarap di kediaman anda," katanya.

MENJUAL komputer terpakai memberi keuntungan kepada pemiliknya.

Menurutnya, komputer tersebut boleh dikitar semula dan usaha mengitar semula barangan ini akan memberi kepuasan kepada pemiliknya.

"Dengan cara ini juga, pemilik berpeluang menunaikan tanggungjawab yang telah disarankan oleh pihak kerajaan," ujarnya.

Inilah yang disarankan oleh seorang juruteknik pengkomputeran di syarikat tersebut, Chandra Sekaran.

Menurutnya, proses kitar semula yang melibatkan komputer terbuang ini bergantung kepada jenama, fungsi dan komponen yang terdapat di dalamnya.

"Sebelum sebuah komputer ditimbang beratnya, fungsinya akan diperiksa dahulu sebelum harga jualannya dapat diputuskan.

"Sekiranya komponen utama seperti alat pemproses (prosesor), litar integrasi (IC), papan induk, unit pemprosesan pusat (CPU) dan cakera keras pada komputer ini tidak berfungsi atau rosak sepenuhnya, kami akan mengumpul semua set perkakasan itu dan menjualnya kepada agen yang dilantik," katanya.

PROSES kitar semula perkakasan komputer bergantung kepada komponennya.

Beroperasi sebagai syarikat pengumpul barangan kitar semula, mereka turut mengenengahkan konsep pengasingan, pengumpulan dan pembungkusan mengikut jenis komponen ke dalam kotak, sebelum dijual semula kepada agen mengikut harga yang ditetapkan.

Menurut Chandran, setiap komputer yang diterima daripada pemilik akan dibeli pada harga antara RM8 hingga RM25 bagi setiap kilogram.

Katanya, jika keseluruhan komponen di dalamnya didapati rosak, mereka akan menjual terus kepada agen pada harga RM1.70 bagi setiap kilogram.

Berpengalaman selama sedekad dalam bidang perkomputeran, Chandran memberitahu, setiap perkakasan komputer seperti sarung monitor, kabel, wayar dan cip elektronik akan diklasifikasikan mengikut gred yang ditetapkan.

Katanya, gred satu dikategorikan mengikut barangan berat seperti wayar dan kabel elektrik, gred dua pula adalah perkakasan dapur seperti periuk dan kuali manakala gred tiga adalah barangan ringan seperti tin aluminium.

Berbeza di tempat lain, syarikat tersebut turut menawarkan pembelian komputer pada harga yang berpatutan.

"Selepas menukar semula alat gantiannya daripada komputer lama yang masih boleh diguna pakai, saya akan memprogram semula sistem komputer berkenaan sebelum dijual.

"Kami juga akan mengenal pasti fungsi komputer tersebut sebelum memeriksa semua komponen yang terdapat di dalamannya dengan lebih terperinci.

"Jika ia masih boleh berfungsi, kami akan memprogram semula sistem komputer ini sebelum menjualnya kepada orang ramai," jelasnya sambil memberitahu penjualan komputer terpakai itu dibuat mengikut tempahan daripada pembeli.

E. RAVITHERAN

Beliau berkata, kebanyakan pembeli terdiri daripada mereka yang kurang mampu dari segi kewangan dan datang dari keluarga yang ramai," katanya.

Menurutnya, setiap komputer yang siap dibaiki akan dijual pada harga serendah RM200 hingga RM300, bergantung pada sistem pemproses komputer.

Pengarah Urusan syarikat ini, Ravitheran Eanasegram pula berkata, usaha untuk membangkitkan kesedaran masyarakat berkaitan kepentingan kitar semula wajar dijadikan subjek utama.

"Sikap tidak ingin kitar semula inilah antara sebab utama mengapa kita dilanda masalah pembuangan sampah dan pencemaran. Sama ada ingin diterima atau tidak, sikap inilah yang hendak kita kikis dari hati rakyat Malaysia.

"Secara relevannya, semakin banyak sampah dibuang, semakin banyak ruang diperlukan," jelasnya.

Justeru, dengan penubuhan syarikat kitar semula tersebut, Ravi, berharap, ia dapat membantu membangun dan merancang persekitaran yang lebih selamat sekali gus dapat mengurangkan risiko pencemaran alam.

Katanya, pelaksanaan sistem mengitar semula perkakasan komputer di syarikat ini bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan tetapi mempunyai misi tersendiri.

"Kepuasan dalam menunaikan tanggungjawab yang disarankan memberi impak mendalam kepada kami sekali gus melahirkan sikap yang prihatin terhadap alam sekitar dan individu yang kurang mampu.

Justeru, katanya, hasil daripada komputer yang dibaiki ini akan disalurkan ke rumah kebajikan, kanak-kanak kurang bernasib baik dan ahli keluarga yang miskin.

Ternyata beliau berpuas hati dengan komitmen yang dilakukan selama ini.

Ravi berkata, konsep ini sedikit sebanyak dapat membangkitkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kitar semula barangan elektronik.

Perubahan positif kempen kitar semula

DALAM usaha menggalakkan program kitar semula dalam kalangan penduduk setempat, Suruhanjaya Alam Sekitar di bawah Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) membuktikan bahawa mereka mampu merealisasikan saranan tersebut.

Ini dapat dilihat melalui penubuhan Pusat Kitar Semula Kejiranan NCWO, di Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor.

Penubuhan ini memberi impak mendalam terhadap masyarakat sekitar tentang kepentingan amalan kitar semula.

Dipengerusikan oleh Datin Zaharah Alatas, NCWO mempunyai objektif tersendiri dalam membangkitkan kesedaran komuniti setempat terhadap pemuliharaan alam sekitar.

Menurut seorang kakitangan NCWO, Nurina Raihan Goh Abdullah, 37, dengan adanya sistem pengumpulan sampah sarap ini, ia dapat memberi panduan kepada penduduk untuk mengitar semula barangan terbuang dari rumah masing-masing.

“Perubahan secara sedikit-sedikit dalam perlakuan harian boleh membawa perubahan lebih positif kepada generasi akan datang.

“Ia sekali gus mengikis semula mentaliti masyarakat yang selama ini kurang menitikberatkan hal yang melibatkan pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya sambil menegaskan, secara tidak langsung, ia dapat memupuk semangat kejiranan antara kaum.

PROGRAM yang dilaksanakan ini memberi peluang kepada penduduk untuk mengitar semula barangan terbuang. - Gambar hiasan

Mariah Hussain, 36, berkata, menerusi program tersebut, penduduk digalakkan mengumpul barangan kitar semula seperti tin aluminium atau besi, surat khabar, komputer, kertas dan bekas-bekas plastik kepada wang ringgit pada setiap hari Sabtu, minggu ketiga, di pejabat berkenaan.

Katanya, hasil pungutan yang diperoleh dari agen pengumpulan kitar semula akan dimasukkan ke dalam tabung Suruhanjaya Kitar Semula dan digunakan untuk menganjurkan ceramah, aktiviti dan seminar berkaitan kepentingan kitar semula.

Mengulas cara pengagihan sampah sarap ini dilakukan, katanya, setiap barangan yang dikumpul pada setiap bulan akan dimasukkan ke dalam beg plastik mengikut jenis barangan yang diberikan penduduk.

“Kebiasaannya, mereka akan mengeringkan dan membersih dahulu sampah sarap sebelum dibawa ke pusat pengumpulan ini.

“Kemudian, beberapa sukarelawan akan menimbang dan merekodkan barangan yang telah dikumpul sebelum diambil oleh agen,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai pusat Kitar Semula Kejiranan NCWO, hubungi talian 03-7954 3008 atau anda boleh menghantar terus barangan kitar semula di alamat: Pejabat NCWO, No. 46, Jalan 14/29 Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor. Dibuka pada pukul 8 pagi hingga 4.30 petang (Isnin hingga Jumaat).

No comments: